SHAH ALAM, 9 DIS: Pemandu ambulans maut manakala dua pembantu perubatan dan seorang pesakit cedera selepas kenderaan tersebut terbabas di Kilometer 59.8, Lebuhraya Utara-Selatan (arah selatan), hari ini.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Renggam, Pegawai Bomba Kanan II M. Nasir A. Shah berkata, kejadian tersebut berlaku pada jam 1.10 tengah hari melibatkan sebuah ambulans dari Hospital Segamat.
Seramai enam anggota dibantu sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dikejarkan ke tempat kejadian yang jaraknya 26 kilometer.
Jelas beliau, pemandu ambulans berusia 43 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.
“Sebaik tiba di lokasi, pihak kami mendapati kemalangan membabitkan empat mangsa terdiri pemandu ambulans lelaki, dua pembantu perubatan wanita serta seorang pesakit wanita.
"Hasil pemantauan mendapati, pemandu dan seorang penumpang hadapan tercampak keluar dari ambulans, manakala dua lagi mangsa yang berada di ruangan belakang tidak tersepit,” katanya menerusi kenyataan.
Beliau berkata Pasukan Keluar Operasi (PKO) mengalihkan mangsa yang cedera ke kawasan selamat sebelum menyerahkan mereka kepada pihak ambulans untuk rawatan lanjut.
"Mayat pemandu ambulans pula diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.


