BANGKOK, 9 DIS: Skuad kriket lelaki negara memulakan kempen peringkat round robin acara Twenty20 (T20) pada Sukan SEA 2025 dengan langkah meyakinkan selepas menewaskan Filipina di TerdThai Cricket Ground di sini hari ini.
Turun selaku pasukan pilihan, Malaysia tidak berdepan masalah untuk menundukkan pasukan yang membuat penampilan sulung pada temasya dwitahunan itu apabila mencatatkan 201 larian dalam 20 over manakala Filipina sekadar mengumpul 87 larian.
Pemain paling menyerlah, Muhammad Haziq Aiman Mohd Hafiz berkata semangat berpasukan menjadi kunci kecemerlangan mereka pada aksi pembukaan itu.
“Hari ini rakan sepasukan amat menyokong saya. Dia orang bagi tahu macam mana keadaan lapangan tengah, macam mana keadaan semua situasi dan semua pemain senior bimbing saya macam mana untuk membawa saya lebih jauh.
“Harapan saya, momentum pemain akan diteruskan sebegini supaya kami dapat memegang pingat emas,” katanya kepada Bernama selepas perlawanan di sini hari ini.
Malaysia seterusnya akan berdepan Indonesia dalam aksi liga sepusingan itu esok.


