Tiada rakyat Malaysia terjejas dalam gempa bumi di Jepun

9 Dis 2025, 5:39 AM
Tiada rakyat Malaysia terjejas dalam gempa bumi di Jepun

KUALA LUMPUR, 9 DIS: Tiada laporan rakyat Malaysia terjejas dalam gempa bumi bermagnitud 7.5 yang melanda timur laut Jepun semalam.

Kementerian Luar yang lebih dikenali sebagai Wisma Putra berkata melalui Kedutaan Besar Malaysia di Tokyo, pihaknya sedang memantau keadaan dengan rapi.

“Setakat ini, tiada laporan rakyat Malaysia terjejas akibat gempa bumi tersebut. Kedutaan berhubung rapat dengan pihak berkuasa tempatan dan sedang memantau perkembangan semasa,” menurut Wisma Putra dalam kenyataan hari ini.

Gempa bumi itu berlaku pada 11.15 malam (waktu tempatan) pada kedalaman 54 kilometer, kira-kira 80 kilometer di luar pantai wilayah Aomori.

Amaran tsunami telah dikeluarkan namun sudah ditarik balik.

Wisma Putra menasihatkan rakyat Malaysia yang menetap atau berada di kawasan terjejas supaya berwaspada, mengelakkan kawasan pesisir pantai dan mematuhi arahan rasmi pihak berkuasa Jepun.

“Rakyat Malaysia juga digalakkan mendaftarkan keberadaan mereka dengan Kedutaan Besar Malaysia di Tokyo bagi memastikan komunikasi dan bantuan dapat disalurkan dengan segera apabila diperlukan,” tambah kenyataan itu.

Untuk bantuan konsular, rakyat Malaysia boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Tokyo melalui telefon +81-3-3476-3840 (pertanyaan umum) dan +81-80-4322-3366 (kecemasan sahaja) atau melalui e-mel: consular.tyo@kln.gov.my

Wisma Putra berkata pihaknya akan terus memantau keadaan dan mengeluarkan makluman dari semasa ke semasa.

- BERNAMA