SHAH ALAM, 8 DIS: Tiga lelaki warga China ditahan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) KLIA selepas disyaki memasuki negara ini tanpa rekod kemasukan yang sah.
Menurut AKPS mereka ditahan sekitar jam 7.20 malam di Balai Pelepasan Antarabangsa, KLIA Terminal 1 ketika dijadualkan berlepas ke Pudong menaiki pesawat China Eastern Airlines pada jam 9.30 malam.
"Hasil pemeriksaan mendapati pasport ketiga-tiga individu itu tiada cap masuk terkini, semakan sistem menunjukkan mereka tidak mempunyai sebarang rekod kemasukan rasmi," menurut kenyataan AKPS.
Kesemua lelaki tersebut ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 sebelum dihantar ke Depot Imigresen KLIA untuk siasatan lanjut.
AKPS KLIA dalam kenyataan berkata pihaknya akan terus memperketat kawalan, pemantauan dan pemeriksaan di semua pintu masuk negara bagi memastikan keselamatan serta integriti sempadan sentiasa terpelihara.


