SEPANG, 24 SEPT: Dua warga China masing-masing dihukum penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memiliki rokok seludup pelbagai jenama di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Ogos lalu.
Majistret Khairatul Animah Jelani menjatuhkan hukuman itu bermula dari tarikh tangkap terhadap Chen Qianliang, 49, dan Yan Haiyan, 41, selepas mereka mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut.
Mahkamah turut memerintahkan lelaki dan wanita itu membayar duti import masing-masing berjumlah RM36,180 dan RM24,300, atau berdepan tambahan dua bulan penjara jika gagal berbuat demikian.
Mengikut pertuduhan, Chen didakwa memiliki 2,680 kotak rokok jenama Marlboro Ice Blast, manakala Yan didakwa memiliki 1,200 kotak rokok Manchester Double Drive dan 600 kotak Marlboro Ice Blast yang bernilai keseluruhan RM13,440 dengan taksiran duti import RM60,480.
Kedua-duanya didakwa melakukan kesalahan berkenaan di Pejabat Kastam Cawangan Pemeriksaan Penumpang KLIA Terminal 1, kira-kira 11.45 pagi pada 13 Ogos mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.
Pertuduhan dikemukakan Pegawai Pendakwa Jabatan Kastam Diraja Malaysia Shahrul Amin Shahrul Nizam.







