Gangguan operasi kutipan sampah di Subang Jaya selesai - KDEBWM

8 Dis 2025, 9:11 AM
Gangguan operasi kutipan sampah di Subang Jaya selesai - KDEBWM
Gangguan operasi kutipan sampah di Subang Jaya selesai - KDEBWM
Gangguan operasi kutipan sampah di Subang Jaya selesai - KDEBWM

SUBANG JAYA, 8 DIS: Kutipan sampah di sekitar Subang Jaya kini kembali berjalan seperti biasa mengikut jadual ditetapkan, kata pengarah urusan KDEB Waste Management (KDEBWM).

Dato’ Ramli Mohd Tahir menjelaskan gangguan operasi sebelum ini berpunca beberapa faktor tidak dapat dielakkan, termasuk kerosakan lori dan kejadian banjir yang menjejaskan beberapa daerah.

“Selain itu, faktor lain yang dihadapi adalah tempoh kontrak yang hampir tamat memasuki tahun ketujuh. Apabila kontrak menghampiri penamatan, memang ada cabaran tertentu tetapi kami mengambil tanggungjawab dan semua sampah telah dikutip.

“Kutipan di kawasan perumahan dan komersial kini selesai sepenuhnya. Malah, bagi menangani keadaan ini, KDEBWM telah menambah lori kompaktor dan RORO supaya kutipan kembali normal,” katanya kepada Media Selangor.

Ramli berkata pihaknya yakin masalah sama tidak berulang apabila Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) menerima aset baharu yang lebih besar dan berteknologi tinggi tahun depan, malah pengezonan kawasan turut dilaksanakan bagi memastikan pengagihan kerja lebih seimbang.

Beliau turut memaklumkan lebih 20 kontraktor telah ditamatkan kontrak kerana gagal melaksanakan kutipan sampah mengikut syarat dipersetujui.

“Setiap syarikat menandatangani perjanjian. Jika mereka gagal melaksanakan kerja mengikut terma meskipun sudah diberi beberapa amaran, kontrak akan ditamatkan.

“Kami juga berharap penduduk dapat pertimbang sewajarnya sekiranya lori tiba sedikit lewat daripada waktu ditetapkan. Kadang-kadang berlaku masalah seperti kerosakan atau kecemasan. Elakkan menghantar aduan berulang sedangkan tindakan sudah diambil,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Negeri Subang Jaya, Michelle Ng Mei Sze berkata beliau bersedia menjadi penghubung antara KDEBWM dan MBSJ bagi memastikan isu kutipan sampah dapat ditangani dengan berkesan.

“Saya maklum situasi terkini terutama di kawasan komersial yang menyebabkan bau kurang menyenangkan.

“Ketika ini, kutipan sudah kembali normal. Apa yang penting ialah memastikan kontraktor dilantik tidak menjejaskan operasi sehingga membebankan pembayar cukai.

“Saya berharap pembaharuan kontrak tahun depan dapat mengelakkan masalah sama berulang dan memastikan operasi lebih lancar,” katanya.