Safuwan kembali perkuat Gergasi Merah

8 Dis 2025, 7:15 AM
Safuwan kembali perkuat Gergasi Merah

SHAH ALAM, 8 DIS: Pemain pertahanan berpengalaman, Safuwan Baharudin akan kembali memperkuatkan Selangor FC pada 5 Januari depan, selepas tempoh pinjaman selama enam bulan bersama Lion City Sailors tamat.

Kelab itu memaklumkan pemain kebangsaan Singapura berusia 34 tahun itu akan menyertai Gergasi Merah bagi baki saingan musim 2025/26.

“Kepulangan pemain pertahanan berpengalaman ini dijangka dapat mengukuhkan lagi benteng pertahanan kami sepanjang baki musim ini," kata Selangor FC menerusi kenyataan.

Safuwan menyertai Selangor pada 2019 hingga 2022 sebelum dia menyarung jersi Negeri Sembilan pada 2023 dan selepas itu kembali semula bersama Gergasi Merah.

Dia yang pernah beraksi bersama PDRM dan Pahang dipinjamkan Selangor ke Lion City Sailors awal musim ini.

Kehadiran semula Safuwan dilihat mampu memperkemaskan benteng Selangor yang ketika ini sudah melepaskan 11 gol dalam 10 aksi Liga Super dan bolos 14 gol bagi lima perlawanan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2).

Gergasi Merah kini berada di kedudukan keempat Liga Super dengan mengumpul 19 mata selepas membelasah Penang 5-1 di Stadium Bandaraya, malam tadi.