SHAH ALAM, 16 JAN: Ketua jurulatih Selangor, Kim Pan-gon menegaskan dia dalam usaha membangunkan 'DNA' atau cara permainan buat Gergasi Merah yang berteraskan kekuatan, keberanian dan kepantasan.
Pengendali dari Korea Selatan itu menjelaskan, pembentukan DNA amat penting bagi Selangor mencapai sasaran pada masa akan datang dan memberikan kebanggaan kepada penyokong mereka, lapor Berita Harian.
Pan-gon berkata, dia juga masih dalam proses mengenal pasti kekuatan semua pemainnya walaupun sudah mengenali beberapa pemain ketika memikul tugas sebagai pengendali skuad kebangsaan Malaysia sebelum ini.
"Kami mempunyai sasaran yang jelas untuk dicapai. Jadi kami cuba membangunkan cara Selangor, membina DNA kami sendiri, untuk menjadi pasukan yang kuat dengan ciri-ciri bola sepak yang baik.
"Kami mahu mempersembahkan prestasi terbaik dan bola sepak yang berkualiti kepada penyokong. Apabila mereka datang ke sini, kami menampilkan bola sepak yang menarik, dinamik, pantas dan bertenaga.
"Saya fikir perjalanan kami masih jauh, tetapi saya dapat melihat reaksi semua pemain. Mereka suka melakukannya, mereka mahu melakukannya dan itu perkara yang penting. Saya harap kami boleh melangkah lebih jauh lagi," katanya.
Pan-gon yang diumumkan sebagai pengendali baharu Selangor pada 5 Januari lalu memberikan impak pantas apabila dia berjaya memacu pasukan itu merekodkan dua kemenangan berturut-turut di bawah kendaliannya.
Malah, kejayaan menewaskan Negeri Sembilan 1-0 dalam aksi di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Rabu lalu membolehkan Gergasi Merah mendaki ke tangga kedua Liga Super dengan mengumpul 31 mata selepas 15 perlawanan.
Tugasan seterusnya buat Pan-gon dan Selangor adalah aksi pertama Piala Malaysia berdepan Kelantan The Real Warriors (TRW) di Stadium Sultan Muhammad IV, Isnin ini.


