Bayi tiga bulan tersangkut di pokok ketika banjir ditemui masih hidup

8 Dis 2025, 12:59 AM
Bayi tiga bulan tersangkut di pokok ketika banjir ditemui masih hidup

AGAM, 8 DIS: Seorang bayi lelaki berusia tiga bulan terselamat dalam kejadian banjir dan runtuhan tanah yang menghancurkan Desa Selaras Air Timur, Palembayan, Sumatera Barat, 27 November lalu.

Bayi dikenali sebagai Fathan itu ditemui masih hidup selepas tersangkut pada sebatang pokok ketika operasi kecemasan dijalankan dalam keadaan gelap.

Ketua Kampung Selaras Air Timur, Ahmad Fauzi berkata tujuh ahli keluarga bayi berkenaan termasuk ibu bapa, nenek, bapa saudara, ibu saudara dan seorang abang disahkan maut dalam bencana tersebut.

“Ketika operasi dilakukan, pasukan penyelamat menemukan seorang bayi yang tersangkut pada pokok dan masih bernyawa. Kejadian itu di luar jangkaan,” katanya pada 3 Disember lalu.

Rumah keluarga bayi itu yang terletak berhampiran Sungai Selaras dilaporkan musnah akibat limpahan air deras serta serpihan runtuhan.

Fathan kini dirawat dan dijaga oleh komuniti setempat sementara pihak berkuasa mengurus keperluan serta perlindungan masa depannya.