SHAH ALAM, 7 DIS: Sebanyak 40 mangsa daripada 13 keluarga masih ditempatkan di satu pusat pemindahan sementara (PPS) di Kuala Selangor setakat 4 petang tadi, menurun ketara berbanding 91 mangsa di dua PPS pada pagi tadi.
Laporan terkini Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menunjukkan keadaan di Selangor semakin terkawal, manakala Pahang mencatat pemulihan sepenuhnya apabila semua 31 mangsa daripada 12 keluarga di PPS Kuantan dan Raub dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.
Di Perak, jumlah mangsa terus menurun kepada 934 orang daripada 262 keluarga. Daerah Hilir Perak mencatat mangsa tertinggi iaitu 398 orang, diikuti Bagan Datuk (335) dan Manjung (201).
Orang ramai dinasihatkan sentiasa berwaspada, memantau keadaan cuaca dan mengikuti arahan pihak berkuasa.
Maklumat terkini boleh diperoleh melalui laman web rasmi Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), aplikasi myCuaca, media sosial MetMalaysia atau menghubungi talian hotline di 1-300-22-1638.


