HULU LANGAT, 7 DIS: Seramai 54 ketua keluarga di Dusun Nanding yang terjejas dalam kejadian banjir baru-baru ini menerima bantuan awal daripada Majlis Agama Islam Selangor (Mais) bagi meringankan beban mereka.
Pengerusi Mais Dato’ Setia Salehuddin Saidin berkata bantuan bernilai RM31,878 itu digerakkan segera melalui agensi berkaitan kepada penduduk yang kini dalam proses memulihkan kediaman masing-masing.
“Kami turun hari ini bagi memberikan sedikit sumbangan untuk meringankan beban yang ditanggung oleh mereka yang berhadapan dengan musibah banjir ini,” katanya ketika ditemui selepas penyerahan bantuan di Sekolah Rendah Agama Dusun Nanding di sini hari ini.
Sumbangan disalur melalui Teraju Ekonomi Asnaf (Teras) dan Jabatan Sosial Mais merangkumi kotak makanan bernilai lebih RM200 setiap satu, beras serta kit keperluan asas termasuk kain, sejadah dan sabun bagi kegunaan harian mangsa.
Selain itu, mereka yang terjejas juga masing-masing menerima sumbangan RM100 daripada Yayasan Islam Darul Ehsan.
Menurut Salehuddin, kesemua bantuan itu bagi memastikan mangsa mempunyai keperluan asas mencukupi sementara kerja pembersihan dan pemulihan dijalankan.
“Sumbangan ini memang tidak dapat menyelesaikan semua masalah, namun sekurang-kurangnya dapat membantu mereka dalam tempoh sukar ini,” katanya.





