Selangor perkenal inisiatif kesihatan mental untuk remaja di sekolah terpilih

7 Dis 2025, 6:50 AM
Selangor perkenal inisiatif kesihatan mental untuk remaja di sekolah terpilih
Selangor perkenal inisiatif kesihatan mental untuk remaja di sekolah terpilih
Selangor perkenal inisiatif kesihatan mental untuk remaja di sekolah terpilih

SUBANG JAYA, 7 DIS: Kerajaan Negeri memperkenalkan program kesedaran kesihatan mental khas untuk remaja melalui penubuhan Kumpulan Sokongan Rakan Sebaya di sekolah terpilih.

EXCO Kesihatan Awam, Jamaliah Jamaluddin berkata inisiatif itu menyediakan ruang selamat untuk pelajar berkongsi pengalaman, cabaran serta tekanan emosi bersama rakan sebaya yang memahami kondisi mereka.

“Selangor menggandakan peruntukan kesihatan mental daripada RM700,000 kepada RM1.5 juta.

“Pembiayaan ini menyokong perkhidmatan utama seperti Talian SEHAT, talian bantuan psikososial, subsidi rawatan psikiatri serta khidmat kaunselor SEHAT Hub yang menawarkan sesi kaunseling percuma,” katanya ketika berucap pada Simposium Kesihatan Asean 2025 di sini, hari ini.

Menurut Jamaliah, Kerajaan Negeri turut memperkukuh langkah pencegahan penyakit melalui pelbagai inisiatif lain seperti Program Selangor Saring, Bantuan Sihat Selangor (BSS), Iltizam Selangor Sihat (ISS) serta saringan kesihatan percuma untuk warga emas.

Tambahnya, penganjuran simposium yang menghimpunkan pakar kesihatan dari seluruh Malaysia dan Asean, merangkumi sektor awam, swasta, institusi pengajian tinggi serta badan bukan kerajaan (NGO), menyediakan platform penting untuk perkongsian kepakaran dan pandangan.

Program itu turut membuka ruang perbincangan lebih menyeluruh mengenai inovasi perubatan, pembiayaan kesihatan mampan serta penggunaan teknologi baharu bagi memperkasa sistem kesihatan negara dan rantau ini.

“Perspektif tempatan dan serantau ini amat penting dalam membentuk penyelesaian transformasi untuk keperluan sistem kesihatan kita,” katanya.