Lebih 2,500 pokok ditanam di Seksyen 24, 300 sukarelawan terlibat

7 Dis 2025, 2:51 AM
Lebih 2,500 pokok ditanam di Seksyen 24, 300 sukarelawan terlibat

SHAH ALAM, 7 DIS: Usaha menghijaukan bandar raya Shah Alam terus diperkukuh apabila sebanyak 2,525 pokok pelbagai spesies ditanam serentak di Seksyen 24 melalui program ‘MBSA–Mapletree Shah Alam Trees For Life & Community Fun Day 2025’, semalam.

Program anjuran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dengan kerjasama Mapletree Malaysia Management Sdn Bhd dan Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Zon 8 itu menjadi sebahagian inisiatif berterusan bagi menyemarakkan budaya menanam pokok di kawasan bandar.

Daripada jumlah tersebut, Mapletree menyumbang 350 pokok teduhan dan buah-buahan, manakala MBSA menanam 2,175 pokok renek, menjadikan keseluruhan 2,525 pokok berjaya ditanam sepanjang program berkenaan.

Program yang diadakan di Dewan Cengal, Seksyen 24 itu mendapat sambutan menggalakkan dengan penyertaan sekitar 300 sukarelawan terdiri daripada warga kerja Mapletree, badan bukan kerajaan (NGO), pelajar universiti, MPP Zon 8 dan warga kerja MBSA.

Komitmen menghijaukan bandar raya Shah Alam akan terus dipertingkat melalui program Trees For Life. Foto Facebook MBSA

MBSA memaklumkan komitmen menghijaukan bandar raya Shah Alam akan terus dipertingkat melalui program Trees For Life yang dilaksanakan sejak 2010.

Setakat ini, 195,117 pokok berjaya ditanam melibatkan 23,402 sukarelawan.

Program berkenaan disempurnakan Datuk Bandar Shah Alam, Dato’ Mohd Fauzi Mohd Yatim bersama pengurusan kanan MBSA serta wakil Mapletree Malaysia.