Aktiviti songsang: Pakar nasihat isteri buat pemeriksaan, suami jalani kaunseling

7 Dis 2025, 2:01 AM
Aktiviti songsang: Pakar nasihat isteri buat pemeriksaan, suami jalani kaunseling

SHAH ALAM, 7 DIS: Isteri yang menyedari suami terlibat dalam aktiviti songsang disaran segera menjalani saringan kesihatan di pusat perubatan bagi memastikan keselamatan diri dan keluarga.

Pakar psikologi, Dr Adnan Omar berkata individu terlibat juga perlu mendapatkan bantuan kaunseling profesional daripada pakar psikologi atau kaunselor bertauliah bagi memperbetulkan tingkah laku mereka.

“Komunikasi secara terus antara suami dan isteri penting agar isu dapat diurus dengan betul.

“Melalui perbincangan jujur dan terbuka, pasangan dapat memahami punca tingkah laku tersebut secara menyeluruh serta menilai semula keperluan dan perasaan masing-masing,” katanya kepada Media Selangor.

Pakar psikologi, Dr Adnan Omar.

Menurut Adnan, penyalahgunaan media sosial turut menjadi antara faktor yang mendorong gejala songsang apabila individu yang terpengaruh mencari kumpulan sokongan, ruang perbualan tertutup dan bentuk validasi yang menggalakkan perilaku tersebut.

Beliau turut menegaskan individu terlibat dalam gejala berkenaan tidak wajar ditempatkan dalam kerjaya berkaitan kanak-kanak bagi memastikan golongan itu dilindungi daripada unsur negatif.

Sebelum ini, media melaporkan serbuan di sebuah pusat spa dan kesihatan di Chow Kit, Kuala Lumpur pada 28 November lalu membawa kepada penahanan 171 lelaki tempatan, termasuk 17 penjawat awam, antaranya beberapa guru.

Susulan itu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam kenyataan memaklumkan mana-mana guru yang didapati terbabit dalam aktiviti songsang berkenaan tidak lagi akan ditempatkan di institusi pendidikan di bawah kementerian tersebut.