Serbuan spa songsang: KPWKM sedia bantu keluarga individu terlibat

2 Dis 2025, 6:10 AM
Serbuan spa songsang: KPWKM sedia bantu keluarga individu terlibat

SHAH ALAM, 2 DIS: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sedia menawarkan khidmat kaunseling kepada keluarga 171 lelaki yang ditahan dalam serbuan spa songsang di ibu negara baru-baru ini, sekiranya mereka memerlukan sokongan psikologi.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata pihaknya tidak mempunyai maklumat terperinci mengenai identiti individu terlibat, termasuk 17 penjawat awam yang turut ditahan dalam operasi berkenaan.

“Kita tidak tahu siapa mereka, tetapi melihat latar belakang ada dalam kalangan profesional, kakitangan awam termasuk guru, mungkin ada antaranya adalah ketua keluarga.

“Apabila identiti tidak dikenal pasti, kita pun sukar untuk mengetahui keluarga mereka,” katanya seperti dilapor BuletinTV3 ketika ditemui selepas merasmikan Program Asas Kepimpinan Lestari (ESG) Usahawati Sarawak di Kuching, hari ini.

Beliau berkata, KPWKM mengalu-alukan mana-mana individu yang terlibat atau ahli keluarga mereka untuk mendapatkan bantuan psikologi sama ada di Pusat Sokongan Sosial (PSS) Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) atau terus ke pejabat kementerian.

“Ada kes sebelum ini, individu berkedudukan tinggi tampil ke pejabat KPWKM untuk mendapatkan khidmat kaunseling.

“Mereka mungkin segan hendak ke PSS, jadi kami mengalu-alukan terus ke pejabat kerana kami memiliki ramai kaunselor yang memiliki pelbagai kepakaran,” katanya.

Pada 28 November lalu, seramai 171 lelaki warga tempatan ditahan dalam serbuan di sebuah pusat spa dan kesihatan di Chow Kit kerana disyaki terbabit dalam kegiatan tidak bermoral.

Kesemua mereka bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan selepas permohonan reman oleh polis ditolak.