SHAH ALAM, 2 DIS: Seorang Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) yang berkhidmat di Pejabat Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi diarah meletakkan jawatan serta-merta susulan penahanannya di sebuah spa songsang baru-baru ini.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud berkata tindakan segera itu diambil bagi memastikan integriti perkhidmatan awam terus terpelihara, di samping menunjukkan komitmen kementerian terhadap prinsip tadbir urus yang telus.
Menurutnya, Unit Integriti Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) turut memulakan siasatan dalaman ke arah tindakan tatatertib selaras peraturan perkhidmatan.
“KPT menegaskan bahawa tiada sesiapa dikecualikan daripada proses undang-undang dan tatakelola, dan sebarang tindakan lanjut akan diputuskan berdasarkan hasil siasatan Unit Integriti serta kerjasama dengan pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan media, lewat malam tadi.
Mustapha berkata, beliau menghormati proses siasatan yang sedang berjalan dan menyeru semua pihak agar tidak membuat spekulasi yang boleh menjejaskan integriti penyiasatan.
Terdahulu, 201 lelaki yang juga pengunjung pusat kesihatan di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur ditahan selepas disyaki terbabit dalam aktiviti hubungan songsang.
Mereka berusia antara 19 hingga 60 tahun ditahan dalam satu operasi mengejut sekitar jam 8 malam pada 28 November membabitkan Polis Kontinjen Kuala Lumpur, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).
Daripada 201 yang ditahan, 17 daripada mereka adalah penjawat awam membabitkan doktor bedah, Timbalan Pendakwa Raya, Pegawai Tadbir Diplomatik, guru serta pegawai agensi penguatkuasaan.


