Mural baharu serikan bandar Pelabuhan Klang, kempen MBDK terus dapat sambutan

6 Dis 2025, 6:38 AM
Mural baharu serikan bandar Pelabuhan Klang, kempen MBDK terus dapat sambutan
Mural baharu serikan bandar Pelabuhan Klang, kempen MBDK terus dapat sambutan

KLANG, 6 DIS: Kempen Wake Up and Make Up Klang terus menunjukkan impak positif apabila program gotong-royong dan lukisan mural di bandar Pelabuhan Klang hari ini menarik penyertaan meluas daripada agensi, pemain industri dan komuniti setempat.

Program anjuran Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) dengan kerjasama Lembaga Pelabuhan Kelang (LPK) itu dirasmikan Datuk Bandar Diraja Klang sebagai usaha berterusan memperindah dan menghidupkan semula kawasan utama di bandar berkenaan.

Datuk Bandar Klang Dato’ Abd Hamid Hussain berkata kejayaan kempen itu jelas dipacu sokongan ratusan sukarelawan yang hadir menjayakan aktiviti pembersihan dan melukis mural bertemakan Kebersihan, Kelestarian & Identiti Bandar Pelabuhan Klang.

Ratusan sukarelawan hadir menjayakan aktiviti pembersihan dan melukis mural bertemakan Kebersihan, Kelestarian & Identiti Bandar Pelabuhan Klang.

Menurutnya, mural yang dihasilkan dijangka menjadi tarikan visual baharu dan menyerlahkan identiti maritim Klang, seiring aspirasi mewujudkan Pelabuhan Hijau.

Beliau berkata, usaha itu turut membuktikan keberkesanan kempen tersebut dalam memupuk rasa tanggungjawab bersama terhadap kebersihan dan kualiti persekitaran bandar.

“Usaha ini membuktikan komitmen MBDK untuk terus mengangkat imej Klang sebagai sebuah bandaraya yang lebih bersih, ceria dan berdaya saing,” katanya.