Surah Al-Saff jadi panduan hadapi cabaran ekonomi semasa - MB

6 Dis 2025, 5:19 AM
Surah Al-Saff jadi panduan hadapi cabaran ekonomi semasa - MB
Surah Al-Saff jadi panduan hadapi cabaran ekonomi semasa - MB

KUALA LUMPUR, 6 DIS: Surah Al-Saff yang menekankan kekuatan, ketabahan dan kesatuan saf menjadi peringatan penting dalam menghadapi cabaran ekonomi dan sosial masa kini, kata Dato’ Menteri Besar Selangor.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata, medan perjuangan moden tidak lagi melibatkan senjata, sebaliknya tertumpu kepada isu ketidaksamarataan ekonomi, tekanan alam sekitar, kejutan geopolitik dan kemerosotan kepercayaan terhadap institusi.

“Dalam menghadapi cabaran ini, ekonomi menjadi tiang penting untuk ummah bangkit, menyumbang dan memimpin.

“Namun tiang itu hanya kukuh jika dibina atas kepercayaan antara kerajaan dan rakyat, majikan dan pekerja, pengeluar dan pengguna,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Konvensyen Dunia Al-Quran 2025 di Dewan Perdana, Menara MITI hari ini.

Amirudin turut menyambut baik pelancaran gerakan #Saff12Movement oleh pasukan penyelidikan konvensyen yang menghubungkan panduan al-Quran dengan 12 sektor utama ekonomi dan masyarakat.

“Usaha ini penting agar renungan terhadap Surah Al-Saff tidak kekal sebagai teori, sebaliknya diterjemahkan kepada peranan, kelompok dan tanggungjawab dalam pelbagai industri.

“Tiada satu negeri atau negara boleh membina ekonomi Qurani bersendirian. Selangor hadir sebagai model yang masih belajar, menawarkan pengalaman, sistem dan pelajaran sebagai amanah bersama kepada ummah,” katanya.

Beliau berharap konvensyen itu menjadi permulaan perjalanan 10 tahun yang menyatukan penggubal dasar, sarjana, pemimpin industri dan masyarakat untuk memastikan #Saff12Movement benar-benar menterjemahkan panduan al-Quran kepada transformasi berasaskan sektor.

“Agar ‘Daripada Wahyu ke Inovasi’ bukan sekadar tagline, tetapi budaya kerja kita,” katanya lagi.

Konvensyen edisi kelima anjuran Warisan Ummah Ikhlas Foundation (WUIF) itu membawa tema Surah Al-Saff: Quranic Solutions for Global Economic Challenges dan menjadi platform antarabangsa menghimpunkan pemimpin ekonomi global, ulama serta aktivis masyarakat.

Penyertaan dari 20 negara termasuk Amerika Syarikat, Perancis, Jerman, Iran, Brunei dan Indonesia membolehkan perbincangan mengenai bagaimana nilai al-Quran boleh diaplikasi dalam ekonomi kontemporari, termasuk etika perniagaan, pelaburan lestari, tanggungjawab sosial dan pembangunan komuniti.

Konvensyen itu turut membuka ruang jaringan antara pemimpin ekonomi dan komuniti Islam global yang berpotensi mempengaruhi dasar serta menggerakkan inisiatif sosial dan ekonomi berasaskan nilai moral serta spiritual.