KUALA LUMPUR, 6 DIS: Selangor kekal sebagai negeri paling aktif menerajui pembangunan ekosistem halal negara, dengan ratusan syarikat berjaya diperakui melalui sistem penyeliaan yang jelas, berintegriti dan berakauntabiliti.
Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata komitmen Selangor dalam memperkukuh tadbir urus halal sudah berjalan lebih setengah abad dan kekal menjadi amanah besar hasil kerjasama kerajaan, industri serta masyarakat.
“Antara usaha paling ketara ialah tadbir urus halal, sebagai contoh bagaimana nilai al-Quran dapat diterjemahkan ke dalam dasar dan sistem.
“Ini bukan sahaja meningkatkan keyakinan pengguna, malah memperkukuh peluang ekonomi,” katanya ketika berucap pada Konvensyen Al-Quran Dunia 2025, di sini hari ini.
Menurut Amirudin, kejayaan sektor halal Selangor membuktikan nilai al-Quran mampu diinstitusikan dalam pentadbiran moden.
Namun, katanya skop ekonomi berteraskan al-Quran jauh lebih luas daripada itu.
“Halal bukan satu-satunya manifestasi ekonomi al-Quran, ia hanya contoh yang nyata.
"Misi kita lebih besar iaitu memastikan setiap dasar, program dan kerjasama mencerminkan prinsip keadilan, ihsan dan amanah seperti yang dituntut al-Quran,” katanya.

Beliau berkata Selangor turut melaksanakan pelbagai inisiatif untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat, termasuk memperkasa usahawan kecil dan mikro serta memudahkan akses pembiayaan melalui institusi kewangan negeri dan rakan strategik.
“Semua ini bergerak dalam arus yang sama memastikan mesej al-Quran diterjemah dalam bentuk kesejahteraan, peluang ekonomi dan kemakmuran masyarakat,” ujarnya.
Konvensyen anjuran Warisan Ummah Ikhlas Foundation (WUIF) yang memasuki edisi kelima tahun ini, membawa tema Surah Al-Saff: Quranic Solutions for Global Economic Challenges.
Program yang berlangsung di Dewan Perdana, MITI itu menjadi platform peringkat antarabangsa menghimpunkan pemimpin global ekonomi, ulama serta aktivis komuniti.
Konvensyen melibatkan penyertaan 20 negara termasuk Amerika Syarikat, Perancis, Jerman, Iran, Brunei dan Indonesia, membincangkan bagaimana nilai al-Quran boleh diaplikasikan dalam ekonomi kontemporari termasuk etika perniagaan, pelaburan lestari, tanggungjawab sosial dan pembangunan komuniti.
Ia turut menjadi ruang jaringan antarabangsa bagi meneroka dasar, kerjasama sosial dan inisiatif ekonomi berteraskan nilai moral serta spiritual.



