PUCHONG, 6 Dis: Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mengambil bahagian dalam operasi bersepadu bagi menangani kes pelepasan efluen terlarang yang menyebabkan pencemaran di beberapa loji rawatan kumbahan (LRK) sekitar Taman Perindustrian Puchong, semalam.
Operasi yang diketuai Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) itu turut disertai agensi negeri lain termasuk Indah Water Konsortium (IWK), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ).
Menurut LUAS, pemeriksaan itu memfokuskan sebuah premis penyembelihan ayam yang disyaki melepaskan efluen secara tidak teratur sehingga berpotensi menjejaskan kualiti sumber air berhampiran.
“Semakan di tapak menjurus kepada impak terhadap sumber air, khususnya melibatkan pembuangan air kembalian serta sebarang kemasukan atau pelepasan bahan buangan dan bahan pencemar,” katanya dalam kenyataan.
Berikutan itu, LUAS telah mengeluarkan notis keperluan permohonan lesen di bawah inisiatif Zero Discharge Policy (ZDP) kepada premis berkenaan.
Agensi itu turut mengingatkan semua premis penternakan agar sentiasa peka terhadap pelepasan efluen masing-masing, berlesen di bawah inisiatif ZDP dan memastikan ia tidak mencemarkan sumber air.



