SHAH ALAM, 18 SEPT: Insiden kemalangan membabitkan dua lori di Kilometer 430.5 Lebuhraya PLUS Arah Selatan awal pagi ini mencetuskan risiko pencemaran terhadap sumber air utama Selangor.
Kejadian sekitar jam 4.50 pagi itu melibatkan sebuah lori yang membawa muatan minyak dalam tong Intermediate Bulk Container (IBC) dan sebuah lagi lori yang mengangkut beras.
Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dalam kenyataan memaklumkan, kemalangan itu menyebabkan 10 daripada 22 tong IBC bocor dan minyak mengalir ke longkang lebuh raya sebelum memasuki anak Sungai Guntong.
"Tumpahan ini berpotensi ke Sungai Selangor dan boleh menjejaskan operasi Loji Rawatan Air (LRA) Rantau Panjang yang terletak kira-kira 13.3 kilometer dari lokasi," menurut agensi itu.
Susulan itu, LUAS segera mengaktifkan tindakan kawalan dengan menurunkan pasukan ke lokasi bagi melakukan semakan menyeluruh dan kerja pembersihan awal.
"Serbuk kayu, activated carbon, oil pad dan oil boom telah diletakkan di lokasi kemalangan, longkang serta anak sungai untuk menghalang bahan pencemar daripada terus mengalir," kata LUAS.
Pihak syarikat lori turut diarahkan segera membersihkan kawasan terlibat, sementara LUAS terus memantau rapi situasi dan perkembangan kerja-kerja pembersihan di lapangan.
Menurut LUAS, situasi terkini adalah terkawal namun pemantauan berterusan tetap dijalankan bagi memastikan keselamatan sumber air.