SHAH ALAM, 2 FEB: Kandungan ammonia di Sungai Selangor yang dikesan meningkat melepasi paras piawaian awal pagi semalam kini telah kembali normal, manakala keadaan sungai dilaporkan baik dan terkawal.
Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dalam kenyataan di Facebook memaklumkan, peningkatan parameter ammonia dikesan sekitar jam 3.15 pagi di muka sauk Loji Rawatan Air (LRA) Rantau Panjang, dengan bacaan melebihi had ditetapkan iaitu 1.5 miligram seliter (mg/L).
Sejurus itu, LUAS bersama Air Selangor segera menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian serta melaksanakan pemantauan intensif di beberapa lokasi termasuk Sungai Sembah dan Sungai Selangor.
Bagi mengekang peningkatan tersebut, projek Skim Jaminan Air Mentah (SJAM) serta kolam sumber air alternatif KL Larut telah diaktifkan bagi meningkatkan faktor pencairan air sungai. Sebanyak 1,784 juta liter sehari (JLH) air disalurkan ke Sungai Selangor bermula jam 9.30 pagi hingga 9.30 malam semalam.
Siasatan lapangan yang dijalankan sejak awal pagi hingga malam, melibatkan kawasan hulu sungai termasuk Sungai Kundang, Sungai Gong dan Sungai Selangor, tidak menemukan sebarang pelepasan mencurigakan atau aktiviti yang melanggar peraturan.
Menurut LUAS, pemerhatian di lapangan mendapati peningkatan parameter ammonia berkemungkinan berpunca daripada kadar pencairan yang rendah susulan taburan hujan yang berkurangan sejak awal Januari 2026.
Bagaimanapun, LUAS akan meneruskan pemantauan rapi di lokasi-lokasi berkaitan bagi memastikan tiada risiko lain yang boleh menjejaskan kualiti air sungai serta operasi loji rawatan air di Selangor.
“Sehingga jam 9.30 malam tadi (semalam), kandungan ammonia di Sungai Selangor telah kembali ke paras normal dan situasi semasa adalah terkawal,” menurut kenyataan itu.





