SHAH ALAM, 18 JULAI: Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) membuka kertas siasatan manakala Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) mengeluarkan kompaun terhadap sebuah premis susulan penemuan efluen berwarna dan berbuih di Sungai Semenyih.
LUAS berkata kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 79(4), Enakmen LUAS 1999 atas kesalahan mencemarkan sumber air selepas siasatan bersepadu dijalankan di Taman Perindustrian Sri Haneco, Semenyih dan kawasan perindustrian Mahkota Beranang semalam.
Menurutnya lagi, siasatan LUAS bersama MPKj, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Indah Water Konsortium (IWK) mendapati aliran berwarna itu disyaki berpunca daripada pelepasan sebuah premis memproses bahan kimia bagi tujuan penyelidikan, pembangunan dan pembuatan bahan kimia mesra alam.
“Siasatan lanjut LUAS bersama pasukan di dalam premis berkenaan mendapati terdapat tiga buah tangki digunakan oleh premis dalam proses rawatan efluen yang mengandungi cecair berwarna merah.
“Berdasarkan semakan, berlaku tumpahan bahan tersebut di atas permukaan lantai simen semasa proses pemindahan efluen ke dalam ABC Tank.
“Tumpahan tersebut disyaki telah mengalir melalui rekahan/kebocoran pada lantai sebelum memasuki sistem saliran premis dan seterusnya mengalir ke longkang berhampiran,” katanya di Facebook.
Sehubungan itu, LUAS mengeluarkan arahan di bawah Seksyen 121(2), Enakmen LUAS 1999 kepada premis terbabit supaya menghentikan dan mengawal pelepasan berkenaan serta-merta.
“Premis itu turut diarahkan melaksanakan kerja pembaikan dan pembersihan di premis serta lokasi terlibat. Pensampelan di lokasi sungai dan premis telah dijalankan LUAS sebelum dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia untuk analisis bagi tindakan penguatkuasaan lanjut
“SPAN dan IWK menjalankan pemeriksaan lanjut terhadap sistem pembetungan dan saliran premis bagi mengenal pasti laluan pelepasan efluen sama ada disalurkan ke sistem pembetungan IWK atau dilepaskan terus ke longkang awam,” katanya lagi.
LUAS memaklumkan keadaan semasa di tapak dan aliran sungai adalah normal serta terkawal tanpa risiko terhadap operasi loji rawatan air (LRA) dengan pemantauan di sungai terlibat diteruskan selain semakan terhadap pelepasan daripada premis di kawasan perindustrian berkenaan dan pematuhan kepada Dasar Pelepasan Sifar (ZDP).
Pada masa sama, LUAS mengingatkan pemilik premis supaya memastikan aspek keselamatan serta kesihatan aktiviti dan premis berada pada tahap tinggi.
“Sebarang kecuaian, sama ada secara sengaja atau tidak, boleh memberi risiko dan impak kepada sumber air negeri serta bekalan air kepada rakyat,” ujarnya.








