Sukan SEA 2025: Skuad bola sepak wanita tewas 0-7

5 Dis 2025, 2:44 PM
Sukan SEA 2025: Skuad bola sepak wanita tewas 0-7
Sukan SEA 2025: Skuad bola sepak wanita tewas 0-7
Sukan SEA 2025: Skuad bola sepak wanita tewas 0-7

SHAH ALAM, 6 DIS: Skuad bola sepak wanita negara membuka saingan Kumpulan B Sukan SEA 2025 dengan langkah kiri apabila dibelasah juara bertahan, Vietnam 7-0 di Stadium Chonburi, Thailand, hari ini.

Vietnam yang juga juara lapan kali tidak menunggu lama untuk berada di depan menerusi jaringan Pham Hai Yen seawal minit keempat sebelum Nguyen Thi Bich Thuy menambah gol kedua pada minit ke-23.

Tiga minit kemudian, Hai Yen menggandakan kedudukan buat Vietnam apabila meledak gol kedua peribadinya dalam perlawanan itu dan jaringan Tran Thi Hai Linh pada minit ke-32 membolehkan mereka menutup babak pertama dengan kedudukan selesa, lapor Berita Harian.

Belum sempat buat skuad kendalian Joel Cornelli cuba bangkit, Vietnam terus menghukum Malayan Tigress apabila pemain tengah, Thai Thi Thao menambah gol kelima Vietnam hanya empat minit selepas rehat.

Thi Thao kemudian berjaya mencipta hatrik apabila meledak dua lagi gol pada minit ke-59 dan 78, sekali gus melengkapkan kemenangan bergaya pasukannya.

Keputusan itu menyaksikan Vietnam berada di kedudukan teratas kumpulan, berkongsi tiga mata bersama Myanmar yang menewaskan Filipina 2-1, manakala Malaysia di tangga tercorot.

Malayan Tigress seterusnya akan berdepan pemenang pingat perak edisi 2023, Myanmar pada Isnin ini sebelum menutup saingan kumpulan menentang Filipina, Khamis depan.