KAJANG, 5 DIS: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) bagi mengesan remaja lelaki yang hilang selepas dipercayai dihanyutkan arus deras ketika cuba mengambil bola di longkang berhampiran Taman Prima Saujana, di sini semalam diperluas ke beberapa sektor sekitar laluan sungai.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata pencarian meliputi kawasan dari lokasi kejadian sehingga persimpangan Sungai Langat dalam radius kira-kira empat kilometer, selain operasi menggunakan bot meliputi jarak tiga kilometer di laluan sungai berkenaan.
“Pencarian turut dijalankan menggunakan dron sepanjang tiga kilometer di kedua-dua arah aliran sungai selain dibantu Unit Anjing Pengesan (K9) dan anggota dari BBP Kajang dengan sokongan BBP Bangi serta Dengkil,” katanya, lapor Berita Harian.
Terdahulu, dua beradik lelaki dilaporkan hanyut ketika cuba mengambil bola yang terjatuh ke dalam longkang.
Adik mangsa berusia 12 tahun ditemui pada 7.47 malam di Sungai Merbau, Kampung Sungai Kantan dan disahkan meninggal dunia pada 10 malam di Hospital Kajang.
Namun, abangnya berusia 14 tahun masih belum ditemui setakat ini dan SAR sedang giat dijalankan.
Difahamkan, kedua-dua beradik itu bermain bola bersama rakan sebelum turun ke longkang dan dipercayai terjatuh sebelum dihanyutkan arus deras.




