KAJANG, 4 DIS: Kanak-kanak lelaki ditemukan tidak sedarkan diri selepas dihanyutkan arus ketika cuba mengambil bola yang terjatuh ke dalam longkang di Lorong 1/3A, Taman Prima Saujana, di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata mangsa berusia 12 tahun itu ditemukan pada 7.47 malam di Sungai Kantan, beberapa kilometer dari lokasi kejadian.
“Kanak-kanak terbabit disahkan meninggal dunia pada jam 10 malam ketika menerima rawatan di Hospital Kajang.
“Seorang lagi mangsa yang juga abang mangsa berusia 14 tahun masih belum ditemukan dan operasi mencari dan menyelamat sedang diteruskan,” katanya ketika ditemui di lokasi, lapor Harian Metro.
Difahamkan kedua-dua beradik terbabit dihanyutkan arus deras ketika cuba mengambil bola di dalam longkang susulan hujan lebat yang melanda petang tadi.




