SHAH ALAM, 5 DIS: Usaha memperluas kefahaman terhadap kepentingan wakaf diperkukuh Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) melalui program Bicara Wakaf bersama polis Selangor pada 3 Disember.
Program berlangsung di Dewan D’Cerana, IPK Selangor itu menampilkan Timbalan Mufti Pahang Dato’ Dr Badli Shah Alauddin, berhubung sedekah jariah sebagai amalan berterusan dan pahala berpanjangan.
"Perkongsian tersebut membuka ruang pemahaman baharu tentang peranan wakaf sebagai instrumen kebajikan yang memberi manfaat jangka panjang kepada masyarakat," kata PWS di Facebook.
Majlis turut menyaksikan pelancaran kempen wakaf disertai simbolik menandatangani Borang Skim Potongan Gaji oleh Ketua Polis Selangor Dato' Shazeli Kahar bagi menyokong inisiatif PWS.
Dalam majlis itu, PWS turut menyerahkan sumbangan wakaf fisabilillah berjumlah RM43,500 bagi pembelian 100 unit kerusi roda untuk kegunaan polis Selangor, sebagai tanda sokongan terhadap kebajikan anggota serta perkhidmatan mereka kepada masyarakat.
"Kolaborasi strategik itu dilihat mampu memperkukuh budaya memberi dalam kalangan penjawat awam sekali gus memantapkan ekosistem wakaf sebagai pemangkin kesejahteraan rakyat Selangor," katanya.
Orang ramai yang ingin menyertai usaha wakaf tunai boleh berbuat demikian melalui saluran rasmi PWS di https://fpx.wakafselangor.gov.my atau https://infaqpay.my/go/wakafselangor



