ad

Perbadanan Wakaf Selangor salur RM50,000 bantu naik taraf SRA Kebun Baharu

12 Nov 2025, 11:14 AM
Perbadanan Wakaf Selangor salur RM50,000 bantu naik taraf SRA Kebun Baharu

SHAH ALAM, 12 NOV: Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) menyalurkan sumbangan wakaf fisabilillah berjumlah RM50,000 kepada Sekolah Rendah Agama (SRA) Kebun Baharu, Kuala Langat.

PWS memaklumkan bantuan itu bertujuan meringankan beban sekolah berkenaan bagi kerja pemasangan jubin di dewan terbuka.

“Kerja pemasangan jubin ini juga demi keselesaan pelajar dan warga sekolah dalam melaksanakan aktiviti pembelajaran termasuk program keagamaan,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Penyerahan sumbangan disempurnakan Ketua Pegawai Eksekutif PWS, Anuar Hamzah Tohar, kepada Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SRA Kebun Baharu, Nor Azman Abdul Kahar.

Majlis turut diserikan dengan sesi taklimat berkaitan kebaikan berwakaf serta pembukaan kaunter wakaf bagi memberi peluang masyarakat menyertai amalan tersebut.

Orang ramai yang ingin menunaikan wakaf tunai boleh berbuat demikian secara dalam talian di https://fpx.wakafselangor.gov.my/ewo_login.asp atau melalui potongan bulanan di Sistem Borang Online PWS (https://bo.wakafselangor.gov.my ) mulai 1 Januari 2025.