Raja Muda Selangor: Pendidikan moden perlu bentuk minda keusahawanan

5 Dis 2025, 9:09 AM
Raja Muda Selangor: Pendidikan moden perlu bentuk minda keusahawanan
Raja Muda Selangor: Pendidikan moden perlu bentuk minda keusahawanan

SHAH ALAM, 5 DIS: Pendidikan moden perlu bergerak seiring perubahan zaman dengan menumpukan kepada pembangunan minda keusahawanan terutama dalam kalangan belia.

Penekanan tersebut dizahirkan oleh Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah ketika berangkat melakukan lawatan teknikal empat hari ke Beijing, China bermula 30 November lalu.

Baginda diiringi isteri Yang Mulia Datin Paduka Seri Afzaa Fadini dan EXCO Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor, Ng Sze Han.

Tengku Amir menekankan bahawa pemikiran keusahawanan merupakan elemen penting untuk memperkasa belia agar mampu menukar cabaran masyarakat kepada peluang inovasi baharu.

"Pendidikan perlu memupuk 'Minda Keusahawanan'. Corak pemikiran sebegini akan memperkasa golongan muda dengan keupayaan untuk menukar cabaran masyarakat kepada peluang inovasi yang baharu," titah Baginda.

Baginda berucap sempena Program Rangkaian Pendidikan Keusahawanan Asia Tenggara kelolaan Pusat Antarabangsa UNESCO bagi Penyelidikan dan Latihan dalam Pendidikan Luar Bandar (INRULED) di Beijing Normal University.

Lawatan strategik itu menumpukan kepada pemerkasaan belia dan kerjasama teknologi tinggi selain memperkukuh hubungan dua hala antara Selangor dan China.

Tengku Amir Shah turut berangkat ke Universiti Tsinghua bagi menyertai "Dialog Belia Global Tsinghua", platform yang menghimpunkan beberapa belia antaranya dari Malaysia, China dan Singapura.

Menerusi majlis santapan malam bersama pelajar Malaysia di Beijing, Baginda berkongsi pengalaman menjalani latihan ketenteraan dan menekankan konsep ketahanan (resilience) sebagai nasihat buat mahasiswa perantau.

Baginda turut menyeru mahasiswa pulang ke tanah air dengan keyakinan dan pemikiran baharu serta memimpin masa depan negara berteraskan integriti.

"Ketahanan bukan tentang siapa yang paling kuat tetapi tentang kemampuan untuk terus melangkah ke hadapan walaupun setiap langkah terasa lebih berat daripada sebelumnya," titahnya.

Sementara itu, Ng Sze Han menegaskan bahawa dunia kini berada dalam era BANI (Brittle, Anxious, Nonlinear, Incomprehensible - Rapuh, Cemas, Tidak Linear, Sukar Difahami)

Jelasnya, Kerajaan Selangor kini mengalihkan tumpuan dasar daripada usaha mengekang penghijrahan tenaga mahir kepada langkah memperkasa konsep peredaran kepakaran.

"Kami melihat pakar dan bakat di luar negara sebagai super-connectors (penghubung berpengaruh tinggi). Sama ada berada di Beijing atau Silicon Valley, mereka adalah jambatan yang menghubungkan Selangor dengan dunia," katanya.

Delegasi turut mengadakan lawatan korporat ke beberapa syarikat gergasi yang mempunyai hubungan strategik dengan Selangor seperti Ibu Pejabat Alibaba, Bridge Data Centres dan China Harbour Engineering Company.