SHAH ALAM, 21 MEI: Seramai 151 individu dari tujuh daerah di Selangor dikurniakan Pingat Negeri Selangor Darul Ehsan sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj ke-80 .
Istiadat yang berlangsung di Dewan Jubli Perak Bangunan Sultan Abdul Aziz di sini hari ini melibatkan penerima dari daerah Hulu Selangor, Gombak, Hulu Langat, Kuala Langat, Kuala Selangor, Sabak Bernam dan Sepang.
Pengurniaan pingat berkenaan disempurnakan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah yang mewakili Sultan Selangor.
Majlis turut menyaksikan seorang penerima dikurniakan Pingat Kecemerlangan Sukan Selangor (P.K.S), iaitu anugerah kepada pegawai atau ahli sukan kelahiran Selangor atau yang bermastautin di negeri ini yang pernah mewakili Selangor sekurang-kurangnya selama tiga tahun serta memenangi pingat di peringkat negeri atau kebangsaan termasuk Sukan Paralimpik.
Selain itu, seramai 21 individu menerima Pingat Pekerti Terpilih (P.P.T) yang dikurniakan kepada mereka yang berjasa serta menunjukkan pekerti terpuji di negeri ini.
26 penerima pula dikurniakan Pingat Perkhidmatan Cemerlang (P.P.C) yang setaraf dengan Pingat Jasa Kebaktian dan diberikan kepada pegawai kerajaan kumpulan sokongan yang berkhidmat sekurang-kurangnya tujuh tahun bersama Kerajaan Negeri secara cemerlang.
Seramai 87 individu menerima Pingat Jasa Kebaktian (P.J.K) sebagai penghargaan terhadap jasa, kesetiaan dan ketekunan mereka dalam menjalankan tugas selain memiliki kebolehan istimewa serta berpekerti mulia.
Sementara itu, 16 individu menerima Pingat Perkhidmatan Selangor (P.P.S) yang dikurniakan kepada kakitangan kerajaan dengan rekod perkhidmatan dan kelakuan terpuji serta telah berkhidmat secara berterusan sekurang-kurangnya 20 tahun bersama Kerajaan Negeri.











