SEPANG, 5 DIS: Penyerahan 114 lori operasi baharu bernilai RM36 juta oleh KDEB Waste Management (KDEBWM) kepada Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) sebagai usaha meningkatkan kecekapan pengurusan sisa pepejal hampir 400,000 penduduk di kawasan itu.
Pengarah Urusannya, Dato’ Ramli Mohd Tahir berkata MPSepang merupakan pihak berkuasa tempatan kelapan yang menerima aset baharu itu termasuk 39 lori kompaktor berkapasiti 19 tan yang dilengkapi teknologi pemantauan terkini.
“Daripada 114 unit lori, 39 adalah lori kompaktor, empat unit mini kompaktor untuk kawasan sempit dan berisiko manakala 71 lagi adalah lori arm roll bagi meningkatkan kemampuan mengurus tong roll on roll off (RORO).
"Pergerakan setiap lori ini dipantau 24 jam melalui Vehicle Monitoring System (VMS) bagi mengelak cubaan masuk ke tapak pelupusan haram,” katanya pada Majlis Penyerahan Lori Kompaktor dan Arm Roll baharu KDEBWM di Ibu Pejabat MPSepang di Cyberjaya, hari ini.

Ramli menambah, penyerahan itu juga menandakan fasa baharu dalam pengurusan sisa pepejal di daerah Sepang selaras dengan kontrak perkhidmatan baharu KDEBWM bagi tempoh 1 Disember 2025 hingga 31 Ogos 2032.
Sementara itu, Yang Dipertua MPSepang, Dr Ani Ahmad berkata langkah itu juga adalah sejajar dengan usaha meningkatkan perkhidmatan pengurusan sampah yang lebih efisien dan sistematik di daerah berkenaan.
"Pemantauan yang ketat oleh KDEBWM melalui penggunaan sistem pengesanan Global Positioning System (GPS) itu juga membolehkan perancangan kutipan yang lebih baik dan mengurangkan gangguan kepada perkhidmatan.

"MPSepang sentiasa menyokong kepada inisiatif penggunaan aset dan logistik baharu ini sebagai usaha KDEBWM dalam meningkatkan kecekapan perkhidmatannya di seluruh Selangor," ujarnya.







