PETALING JAYA, 5 DIS: Seramai 100 anak yatim menerima sumbangan kelengkapan peralatan sekolah sempena program Back to School Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) menerusi peruntukan RM25,000.
Pengurus Operasi Bahagian Kebajikan Yide Muhammad Zubair Azizan berkata peruntukan itu merupakan sumbangan zakat wakalah dari Amanah Raya Berhad cawangan Shah Alam dengan setiap anak yatim diperuntuk RM250.
Menurutnya, setiap penerima boleh membeli barangan keperluan sekolah termasuk beg sekolah, pakaian seragam, alat tulis dan kasut.

“Untuk fasa pertama ini kita santuni seramai 100 anak yatim sekitar Taman Medan seperti mana sumbangan yang disalurkan oleh pihak Amanah Raya Berhad cawangan Shah Alam.
“Kita akan gerakkan lagi untuk sumbangan sedemikian di kawasan lain terutama di pedalaman,” katanya ditemui selepas sesi penyerahan cek cura sumbangan keperluan persekolahan anak yatim di sini hari ini.
Sementara itu, Ketua Cawangan Amanah Raya Berhad Cawangan Shah Alam Noorashikin Roselee berkata agensi itu akan melaksanakan pemberian zakat wakalah setiap tahun bagi menyantuni mereka yang memerlukan.

“Jadinya setelah saya berbincang dengan pihak Mais (Majlis Agama Islam Selangor), Yide menganjurkan untuk tahun ini.
“Tujuan utama kami, pemberian itu adalah untuk menyantuni anak-anak asnaf yang mana keperluan di sini agak mendesak.
“Kami tidak akan terhenti di sini. Saya akan panjangkan perkara ini kepada pihak ibu pejabat, yang mana mungkin akan ada kolaborasi lain lebih-lebih lagi untuk pihak Yide dan Mais,” katanya.
Sementara itu ibu tunggal Dahlia Darussami, 41, berkata empat anaknya menerima sumbangan berkenaan sekali gus membantu meringankan beban membuat persiapan kelengkapan persekolahan.

“Bersyukur sangat sebab tahun depan empat orang sekolah. Saya sebagai ibu tunggal sangat berbesar hati, sangat gembira sebab dengan bantuan persekolahan ini sangat meringankan beban saya sebagai ibu tunggal yang tiada kerja tetap.
“Suami saya meninggal empat tahun lepas, jadi saya seorang menyara mereka dengan anak kembar Orang Kurang Upaya (OKU) ADHD dengan bantuan ini sagat meringankan beban saya,” katanya.
Penerima Hariz Aqil Hafiz, 11, berkata dia seronok menerima bantuan berkenaan memandangkan kasut sekolah yang diguna kini sudah koyak dan dapat digantikan dengan kasut baharu.
Sepanjang tahun ini Yide menyantuni 12,380 anak yatim individu dan bekerjasama rapat dengan 35 rumah kebajikan anak yatim berdaftar di seluruh Selangor merangkumi bantuan kebajikan asas, sokongan pendidikan, intervensi kesejahteraan dan program pembangunan diri.





