YIDE ringankan beban mangsa kebakaran di Kuala Langat, Seri Kembangan

22 Jul 2026, 3:15 AM
YIDE ringankan beban mangsa kebakaran di Kuala Langat, Seri Kembangan
YIDE ringankan beban mangsa kebakaran di Kuala Langat, Seri Kembangan

SHAH ALAM, 21 JULAI: Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) menghulurkan bantuan kewangan kepada dua keluarga yang kehilangan kediaman dalam kebakaran di Telok Panglima Garang dan Seri Kembangan sebagai usaha meringankan beban mangsa.

YIDE dalam kenyataan memaklumkan bantuan pertama disalurkan kepada Samsuri yang rumahnya terbakar di Taman Bentara, Telok Panglima Garang pada 16 Julai lalu.

Sumbangan itu disampaikan Ketua Sahabat Amal YIDE (K-SAY), Ustaz Faidzul Fahmi Isnan selepas pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian menerusi rangkaian K-SAY.

Sementara itu, YIDE turut menziarahi Nurul yang kehilangan kediaman di Pangsapuri Putra Indah, Seri Kembangan selepas rumahnya hangus dalam kebakaran sehingga memusnahkan barangan serta dokumen penting.

Menurut YIDE, bantuan kewangan bersama dua Pek Prihatin disampaikan kepada mangsa pada 30 Jun lalu selepas pihaknya menerima maklumat kejadian menerusi hantaran Facebook Balai Bomba dan Penyelamat Seri Kembangan serta SAYS Seismik.

"YIDE berharap bantuan yang disalurkan dapat memberi sedikit kelegaan kepada mangsa dalam menghadapi dugaan, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan yayasan membantu masyarakat yang ditimpa musibah," menurut kenyataan itu.

Pada masa sama, orang ramai turut diajak menyemarakkan amalan infaq dan kebajikan bagi membantu golongan memerlukan termasuk anak yatim, pesakit dialisis serta mangsa bencana.

Punca kebakaran di Taman Bentara, Telok Panglima Garang masih dalam siasatan pihak berkuasa.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.