SHAH ALAM, 4 DIS: Beberapa sungai utama di Selangor melepasi paras amaran dan bahaya berikutan hujan lebat petang tadi.
Perkembangan itu berdasarkan kemas kini data dalam laman web rasmi Infobanjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor, setakat 10.20 malam ini
Lokasi yang mencatatkan peningkatan ketara ialah Sungai Langat di Bukit Changgang, Kuala Langat yang kini berada pada paras 4.75 meter, iaitu 0.55 meter melebihi tahap bahaya.
Sungai Langat di Jenderam Hilir, Sepang pula meningkat kepada 12.31 meter, turut melepasi paras bahaya dengan trend terus menaik.
Di Hulu Selangor, paras Sungai Bernam di Jambatan SKC berada pada 18.69 meter, sedikit melebihi tahap amaran, manakala bacaan di Rimba KDR, Sabak Bernam menunjukkan paras 2.22 meter, juga melepasi amaran namun sedang menurun.
Beberapa sungai lain seperti Sungai Semenyih di Pekan Bangi Lama, Kampung Pasir, serta Sungai Langat di Batu 12 Hulu Langat berada pada tahap waspada, dengan sebahagiannya mencatatkan trend kenaikan air.
Sementara itu, menurut portal InfoBencana JKM, dua pusat pemindahan sementara (PPS) telah dibuka di Hulu Langat hari ini, iaitu di Sekolah Rendah Agama Dusun Nanding dan Sekolah Kebangsaan Sungai Serai.
PPS SK Sungai Serai kini menempatkan 127 mangsa, manakala Sekolah Rendah Agama Dusun Nanding menempatkan 156 mangsa.
Secara keseluruhan, seramai 798 mangsa daripada 253 keluarga sedang brteduh di sembilan PPS setakat malam ini.
Tiga daerah buka PPS setakat ini:
Kuala Selangor (dibuka 26 Nov): 6 PPS beroperasi menempatkan 502 mangsa daripada 147 keluarga.
Hulu Langat (dibuka 4 Dis): 2 PPS dibuka menempatkan 283 mangsa daripada 98 keluarga.
Sabak Bernam (dibuka 1 Dis): 1 PPS beroperasi dengan 13 mangsa daripada 8 keluarga.


