HULU LANGAT, 4 DIS: Hujan berterusan sejak malam tadi menyebabkan kawasan sekitar Sekolah Kebangsaan (SK) Dusun Nanding dan SK Sungai Serai dinaiki air, memaksa ratusan murid menamatkan sesi persekolahan hari ini lebih awal demi keselamatan.
Guru SK Sungai Serai Zulkifli Wahab berkata air naik mendadak bermula 8.30 pagi menyebabkan pihak sekolah membuat keputusan untuk menghubungi ibu bapa supaya mengambil anak mereka pulang lebih awal selain ada yang dibawa ke tempat lebih selamat menggunakan beberapa trak pihak berkuasa tempatan dan polis.
"Kita sudah biasa dengan keadaan banjir ini dan kami menghantar pesanan kepada ibu bapa untuk mengambil anak mereka atau kita sendiri akan membawa murid ke Simpang Tiga, Sungai Long supaya ibu bapa dapat mengambil anak-anak tanpa perlu meredah banjir.
“Hal ini bagi menjamin keselamatan mereka dan mengelakkan kejadian tidak diingini," katanya ketika ditemui di Simpang Tiga Sungai Long di sini, hari ini
Bagi seorang ibu, Nazurah Sahlan, 42, banjir bukanlah perkara baharu di sekolah berkenaan dan anak-anak kebiasaannya tetap mahu ke sekolah walaupun hujan.
Anaknya, Hani Fatihah Mohd Amri, 10, walaupun kelihatan penat namun mengakui teruja kerana pertama kali menaiki trak pihak berkuasa.
Selain itu, Sarala Veeramalai berkata walaupun kawasan tersebut sering dinaiki air namun anaknya masih sempat pulang ke rumah dengan menaiki bas sekolah.
"Saya risau apabila memikirkan bagaimana anak akan balik tetapi apabila pihak sekolah memaklumkan mereka akan menyediakan pengangkutan untuk menghantar anak ke tempat yang tidak dinaiki air, saya bersyukur," katanya.
Tinjauan sekitar Sungai Serai dan Nanding pada 2.50 petang mendapati air banjir semakin surut dan penduduk mula membersihkan kediaman masing-masing.



