Laluan baharu kurangkan kesesakan, permudah akses ke Hospital Sungai Buloh - MB

4 Dis 2025, 9:00 AM
Laluan baharu kurangkan kesesakan, permudah akses ke Hospital Sungai Buloh - MB

SHAH ALAM, 4 DIS: Laluan baharu menghubungkan Kampung Sri Indah A (B9) ke Jalan Hospital Sungai Buloh bakal mengurangkan masa perjalanan penduduk daripada 10 hingga 15 minit kepada sekitar lima minit sahaja.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata laluan sepanjang 1.5 kilometer itu akan memberi manfaat besar kepada penduduk daerah Gombak melalui pengurangan kesesakan, peningkatan keselamatan dan akses lebih cepat ke Hospital Sungai Buloh.

“Ini membuktikan komitmen Kerajaan Negeri bahawa setiap perbelanjaan pembangunan mesti memberi keselesaan dan kesejahteraan kepada rakyat, bukan sekadar angka atau kos semata-mata,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, hari ini.

Dato' Menteri Besar, Dato' Seri Amirudin Shari menghadiri majlis penyerahan projek berkenaan di Sungai Buloh, hari ini. Foto Facebook Amirudin Shari

Menurut beliau, projek bernilai RM44.55 juta itu direalisasikan melalui kerjasama Kerajaan Negeri menerusi Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor.

Tambahnya, pembangunan holistik, mampan dan berimpak tinggi akan terus menjadi teras pentadbiran Selangor.

“Semoga projek ini menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi setempat serta meningkatkan kesejahteraan penduduk Gombak secara keseluruhan,” katanya.

Terdahulu, beliau menghadiri majlis penyerahan projek berkenaan di Sungai Buloh, hari ini.