AMPANG JAYA, 4 DIS: Selangor kekal berada pada tahap kesiapsiagaan tertinggi susulan amaran cuaca bagi esok dan Sabtu yang dijangka membawa fenomena air pasang besar dan berpotensi meningkatkan risiko banjir di beberapa kawasan.
EXCO Pengurusan Bencana, Mohd Najwan Halimi berkata lebih 1,000 pusat pemindahan sementara (PPS) yang digazetkan Kerajaan Negeri sedia diaktifkan pada bila-bila masa sekiranya keadaan memerlukan.
“Melihat kepada kemungkinan pada tarikh 5 dan 6 Disember ini dijangka berlaku fenomena air pasang besar. Dalam tempoh itu (terutamanya) kita buat kesiapsiagaan. Sekiranya ada hujan dan sebagainya, ada risiko mungkin banjir.
“Jadi dari segi persiapan, telah dibuat sebaiknya dan kita masih lagi memantau situasi daripada semasa ke semasa. Kalau kita lihat minggu lepas memang agak kritikal, hujan berterusan, tapi Alhamdulillah minggu ini nampak cuaca semakin baik. Bagaimanapun kita tidak boleh ambil mudah.

“Kita masih lagi dalam tempoh berjaga-jaga. Kita juga umumkan cuti pegawai-pegawai Kerajaan Negeri, khususnya di peringkat ketua-ketua jabatan, Yang Dipertua, Datuk Bandar dan sebagainya dibekukan sehingga 15 Disember,” katanya.
Najwan berkata demikian selepas merasmikan Mini Karnival Usahawan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) 2025 di sini, hari ini.
Setakat ini, sembilan PPS dibuka di tiga daerah membabitkan 815 mangsa daripada 266 keluarga.
Daripada jumlah itu, seramai 151 mangsa ditempatkan di dua PPS di Hulu Langat, 13 mangsa di satu PPS di Sabak Bernam manakala 651 mangsa di enam PPS di Kuala Selangor.


