PLATS lonjak pendigitalan perniagaan, hampir 100,000 usahawan dibimbing

4 Dis 2025, 5:55 AM
PLATS lonjak pendigitalan perniagaan, hampir 100,000 usahawan dibimbing
PLATS lonjak pendigitalan perniagaan, hampir 100,000 usahawan dibimbing

AMPANG JAYA, 4 DIS: Hampir 100,000 usahawan berdaftar dengan Platform Selangor (PLATS) yang menyediakan sokongan komprehensif untuk memajukan perniagaan dan membuka peluang pasaran baharu, setakat ini.

EXCO Keusahawanan Mohd Najwan Halimi berkata angka itu bukan sekadar jumlah pendaftaran kerana pemantauan prestasi perniagaan turut dilakukan selain penyediaan latihan berterusan untuk meningkatkan kualiti serta nilai tambah usahawan terutama dalam pendigitalan.

“Mereka ini didedahkan dengan strategi pemasaran yang baru contohnya bagaimana mengguna pakai sosial media untuk mempromosikan platform atau produk mereka menerusi siri U-PLATS dan sebagainya.

“Di peringkat PLATS, usahawan kita sekarang ini bukan hanya tumpukan kepada bagaimana nak meningkatkan produk jualan mereka tetapi latihan. Mereka dapat belajar perkara-perkara baru.

“Sebab kalau kita tengok hari ini ramai usahawan mereka ada minat dan kesungguhan, ada produk untuk dijual tetapi kurang arif bagaimana strategi pemasaran yang betul dan menggunapakai teknologi,” katanya selepas merasmikan program Mini Karnival Usahawan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) 2025 di sini, hari ini.

Mohd Najwan turut menyeru usahawan Selangor termasuk dalam sektor kreatif agar menggunakan peluang dan turut serta dalam program itu untuk memperkenalkan jenama, membina rangkaian baharu serta menimba ilmu baharu daripada sesi perkongsian yang disediakan.

“Daftar dengan PLATS, lebih mudah untuk kita buat pemantauan daripada segi perkembangan mereka dan pada masa sama kita juga telah kembangkan lagi inisiatif ini bukan hanya tertumpu kepada usahawan PMKS tetapi usahawan yang terlibat dalam sektor kreatif,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Yang Dipertua MPAJ Ts. Hasrolnizam Shaari dalam ucapan berkata pihaknya sentiasa memudah cara urusan lesen niaga bagi usahawan termasuk peniaga mikro termasuk kelulusan lesen kurang daripada 14 hari bagi membolehkan peniaga yang layak menjalankan perniagaan.

PLATS adalah ekosistem menyeluruh yang memberi ruang kepada usahawan tempatan untuk berkembang melalui akses kepada latihan, pembiayaan dan jaringan pasaran.

Sepanjang tahun lalu, usahawan PLATS merekodkan nilai transaksi jualan mencecah kira-kira RM15 juta dengan hasil penglibatan aktif menerusi pelbagai medium pemasaran dan saluran digital.

Sebelum ini, Hasrolnizam berkata MPAJ menekankan kemudahan bagi peniaga, khususnya penjaja mikro dengan memastikan permohonan lesen perniagaan di lokasi yang dibenarkan diluluskan dalam tempoh kurang daripada 14 hari.

Menurutnya, inisiatif itu selaras usaha mempercepatkan proses pentadbiran sekali gus menyokong pembangunan perniagaan tempatan.