SHAH ALAM, 22 APRIL: Tiga keluarga yang kehilangan tempat tinggal berikutan kediaman mereka di Jalan PJS 2D/12, Taman Medan terbakar menerima bantuan RM15,000.
Ahli Majlis Zon 21 Majlis Bandaraya Petaling Jaya Muhammad Nabil Halimi berkata setiap keluarga menerima bantuan awal sejumlah RM5,000 bagi meringankan beban.
“Bantuan kewangan ini dengan kerjasama Yayasan Koperasi Serbausaha Makmur (KOSMA). Mangsa turut menerima sumbangan makanan asas disediakan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI.
“Insya-Allah pejabat Ahli Majlis akan berusaha untuk menyelaraskan beberapa aspek bantuan yang lain yang melibatkan agensi agensi dan pihak yang berkenaan,” katanya menerusi kenyataan.
Terdahulu, Muhammad Nabil mengunjungi mangsa untuk menyerahkan sumbangan. Hadir sama, Pengerusi KOSMA, Dato’ Zamri Mohamed dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan KOSMA, Hazran Abdul Halim.
Sebelum ini, tiga kediaman di Jalan PJS 2D/12, Taman Medan dilaporkan terbakar dalam kejadian kira-kira pukul 5.34 petang.








