SHAH ALAM: Dua stesen aras air di dua daerah di Selangor melepasi paras bahaya pagi ini, susulan hujan lebat dan ribut petir sejak awal pagi tadi.
Perkembangan itu berdasarkan kemas kini data dalam laman web rasmi Infobanjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor, sehingga jam 9.45 pagi.
Stesen aras air yang melepasi paras bahaya ialah Batu 12, Hulu Langat dan Jenderam Hilir, Sepang.
Siren amaran bahaya juga dibunyikan di Stesen Batu 12 Hulu Langat sejak jam 9.06 pagi berikutan peningkatan mendadak air sungai, yang boleh mengakibatkan banjir di kawasan berdekatan.
Sementara itu, lima stesen melepasi paras amaran di Hulu Langat, iaitu Pekan Bangi Lama dan Batu 15 yang menunjukkan trend menaik, Tanjung Malim (Hulu Selangor), Rimba KDR (Sabak Bernam) dan Bukit Changgang (Kuala Langat).
Sebanyak empat stesen aras air melepasi paras berjaga-jaga, iaitu Pintu Air Ijok, Kuala Selangor; Dengkil, Sepang; Jambatan S.K.C dan Kg. Sg. Selisik di Hulu Selangor.
Pagi ini, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir dan hujan lebat di beberapa negeri sehingga jam 9 pagi ini.
Kawasan yang terbabit ialah Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Sementara itu, hanya tujuh pusat pemindahan sementara (PPS) masih dibuka di dua daerah membabitkan 690 mangsa daripada 213 keluarga.
Seramai 677 mangsa ditempatkan di enam PPS di Kuala Selangor, manakala 13 lagi mangsa berada di satu PPS di Sabak Bernam.


