Lebih RM55 juta projek lindungi pantai Kuala Langat daripada hakisan

8 Mac 2026, 2:00 PM
Lebih RM55 juta projek lindungi pantai Kuala Langat daripada hakisan

SHAH ALAM, 8 MAC: Kerajaan Negeri melaksanakan projek pemuliharaan dan kawalan hakisan pantai bernilai lebih RM55 juta bagi memperkukuh perlindungan kawasan pesisir di daerah Kuala Langat.

Projek yang dilaksanakan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) itu melibatkan kerja pemuliharaan pantai serta pembinaan benteng bagi menangani isu hakisan di beberapa lokasi utama termasuk Pantai Morib, Pantai Cunang dan Pantai Tanjung Sepat.

Pegawai Daerah Kuala Langat, Tengku Rohana Tengku Nawawi berkata dua projek berkaitan perlindungan pantai serta sistem saliran sedang dilaksanakan dan dijangka siap pada suku ketiga tahun ini.

“Projek Pemuliharaan Pantai Morib bernilai RM47.3 juta ini dijangka siap sepenuhnya pada 1 Julai 2026.

“Selain itu, projek Rancangan Tebatan Banjir Sungai Banting dengan kos RM2.45 juta telah siap pada 14 Oktober 2025 bagi memperbaiki sistem saliran sungai supaya aliran air lebih terkawal ketika hujan lebat dan fenomena air pasang besar,” katanya.

Beliau berlata demikian ketika berucap pada Majlis Ihya’ Ramadan DYMM Sultan Selangor bersama rakyat serta perasmian Masjid An-Nur Kampung Kanchong Tengah, semalam.

Beliau berkata projek pembinaan dan menaik taraf benteng pantai serta kawalan hakisan di Pantai Cunang dan Pantai Tanjung Sepat pula melibatkan kos RM7.9 juta dan dijangka siap pada 21 Julai 2026.

Katanya, projek berkenaan merupakan sebahagian usaha kerajaan negeri bagi menangani isu hakisan pantai serta memperkukuh perlindungan kawasan pesisir di Kuala Langat.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.