RTB Klang: Lima projek siap awal, guna data hujan terkini tingkat sistem saliran

13 Apr 2026, 12:00 PM
RTB Klang: Lima projek siap awal, guna data hujan terkini tingkat sistem saliran
RTB Klang: Lima projek siap awal, guna data hujan terkini tingkat sistem saliran
RTB Klang: Lima projek siap awal, guna data hujan terkini tingkat sistem saliran

SHAH ALAM, 13 APRIL: Lima daripada 13 projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di Klang dijangka siap sebelum September ini, menurut Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor.

Pengarahnya Dato’ Ir Ts Mohd Nazri Yasmin berkata baki lapan lagi projek pula dijadualkan siap secara berperingkat antara akhir 2027, awal 2029 dan akhir 2031.

Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Selangor, Dato' Ir. Ts. Mohd Nazri Yasmin bercakap kepada media ketika di temubual di Ibu pejabat Jabatan Pengairan dan Saliran Negri Selangor, Shah Alam pada 19 November 2025. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR

“Lima projek tersebut termasuk pembinaan pembetung lintasan di bawah landasan kereta api KTM Bhd berhampiran Taman Melawis, merentasi ke Lorong Sembilang 8E, bertentangan dengan Jabatan Kerja Raya daerah Klang.

“Projek lain ialah kolam takungan banjir dan rumah pam di Taman Mutiara (Bukit Raja), kerja-kerja di Sungai Kembong (Pulau Indah), kerja mekanikal rumah pam Jalan Papan serta penaiktarafan benteng pantai di Kampung Sungai Serdang dan Kampung Tok Muda di Kapar,” katanya seperti dilapor The Star.

Menurutnya, sistem saliran perlu sentiasa dikemas kini kerana infrastruktur lama dibina berdasarkan data hujan terdahulu, sedangkan perubahan iklim dan urbanisasi pesat menyebabkan kejadian hujan ekstrem semakin kerap.

“Perubahan iklim juga menyebabkan hujan jangka pendek yang lebih kerap dan lebih lebat, sehingga mengakibatkan rangkaian saliran terlebih beban dan berlakunya banjir setempat.

“Projek tebatan banjir yang mengambil kira perubahan iklim dan reka bentuk saliran lebih berdaya tahan terhadap perubahan iklim diperlukan bagi meningkatkan keberkesanan keseluruhannya.

“Mengambil kira intensiti hujan yang bergantung kepada perubahan iklim bukanlah perkara baharu, namun kini penekanan yang lebih besar diberikan dalam reka bentuk projek tebatan banjir di Selangor.

“Perubahan iklim, data hujan terkini serta trend peningkatan intensiti hujan adalah antara elemen yang dimasukkan dalam model tebatan banjir,” katanya.

Mohd Nazri berkata JPS turut mengambil kira penggunaan tanah semasa dan unjuran masa depan dalam kawasan tadahan bagi memastikan sistem saliran lebih berkesan.

Beliau berkata kajian kapasiti saliran dan sungai dilakukan berdasarkan pelan guna tanah bagi memastikan infrastruktur seperti sungai, kolam takungan dan sistem saliran mampu menampung aliran air pada masa hadapan.

Selain penyelesaian kejuruteraan konvensional, JPS Selangor turut menggalakkan pendekatan berasaskan alam semula jadi dalam pengurusan banjir.

“Pendekatan utama kami termasuk memelihara dan memulihkan hutan bakau di kawasan pesisir kerana ia bertindak sebagai penghalang semula jadi terhadap ribut dan limpahan air laut.

Hutan bakau juga membantu memelihara kawasan tadahan air dan zon semula jadi sungai, menyokong penyerapan air hujan secara semula jadi serta memperuntukkan kawasan takungan semula jadi dan dataran banjir dalam perancangan guna tanah,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.