Amaran hujan lebat, ribut petir di beberapa negeri termasuk Selangor pagi ini

4 Dis 2025, 12:16 AM
Amaran hujan lebat, ribut petir di beberapa negeri termasuk Selangor pagi ini

SHAH ALAM, 4 DIS: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan lebat dan ribut petir yang dijangka berlarutan sehingga 9 pagi ini melibatkan beberapa kawasan di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Di Selangor, keadaan cuaca buruk dijangka menjejaskan sebahagian kawasan terutama pada awal pagi.

Selain itu, amaran sama turut membabitkan Hilir Perak, Batang Padang dan Muallim di Perak; Lipit, Raub, Bentong, Temerloh, Bera, Pekan dan Rompin di Pahang; serta Jelebu, Seremban, Port Dickson dan Rembau di Negeri Sembilan.

Di Melaka, kawasan terlibat ialah Alor Gajah dan Melaka Tengah, manakala di Sarawak meliputi Bau dan Kuching (Bahagian Kuching) serta Samarahan dan Asajaya (Bahagian Samarahan).

MetMalaysia dalam kenyataan di Facebook memaklumkan amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter sejam yang hampir atau dijangka berlaku dalam tempoh lebih satu jam.

Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam bagi setiap keluaran.

Orang ramai dinasihatkan supaya lebih berwaspada, mengelakkan aktiviti luar ketika cuaca buruk serta mematuhi arahan pihak berkuasa dari semasa ke semasa.