PUTRAJAYA, 3 DIS: Bekas Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) berkuat kuasa hari ini bagi tempoh dua tahun.
Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan memaklumkan pelantikan itu dipersetujui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turut menilai pencapaian Zafrul sepanjang mengurus portfolio pelaburan dan perdagangan negara.
Menurut kenyataan itu, selain mengetuai MIDA, Tengku Zafrul juga bakal diberikan beberapa tanggungjawab tambahan yang kini dalam proses perincian.
“Tanggungjawab tambahan itu akan diumumkan kemudian oleh Perdana Menteri,” menurut kenyataan berkenaan.
Tengku Zafrul sebelum ini dilantik Senator pada Mac 2020 bagi menjawat jawatan Menteri Kewangan, sebelum menyambung penggal sebagai Senator pada Disember 2022 ketika memegang portfolio Menteri MITI.
Anwar sebelum ini menzahirkan penghargaan terhadap prestasi Tengku Zafrul khususnya dalam menjalin jaringan perdagangan strategik di peringkat antarabangsa yang menyumbang kepada pertumbuhan sektor pelaburan negara.



