KUALA LUMPUR, 12 OKT: Belanjawan 2027 meningkatkan keyakinan jangka panjang pelabur, memperkukuh ekosistem industri serta memastikan manfaat ekonomi daripada pelaburan dapat dinikmati secara meluas oleh perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta tenaga kerja tempatan, menurut Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).
Ketua Pegawai Eksekutif MIDA Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata keutamaan Malaysia bukan sekadar menarik pelaburan berkualiti dan mampan, tetapi juga memastikan pelaburan itu menjana nilai tambah serta memberikan impak jangka panjang kepada ekonomi negara.
Beliau berkata MIDA kini mempergiat usaha strategik untuk menghubungkan pelaburan bernilai tinggi dengan syarikat tempatan menerusi agenda Aspirasi Pelaburan Nasional.
“Langkah ini penting bagi memperkukuh keupayaan dan ekosistem industri, mendorong syarikat Malaysia menyertai segmen rantaian nilai yang lebih tinggi serta mewujudkan pekerjaan berpendapatan tinggi bagi memacu pertumbuhan ekonomi yang inklusif.
“Dengan sokongan insentif cukai, infrastruktur dan tenaga kerja berbakat, MIDA komited untuk terus memudah cara pelabur mengembangkan perniagaan mereka di Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
MIDA memaklumkan bahawa menerusi pendekatan keseluruhan kerajaan (whole-of-government) dan agenda #InvestLokal, pihaknya terus bekerjasama dengan pihak berkepentingan, termasuk Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), kementerian serta agensi kerajaan lain dan pemain industri, bagi memudah cara serta mempercepat pelaksanaan projek yang diluluskan.
Usaha itu bertujuan memastikan pelaburan berkualiti tinggi dapat memperkukuh industri tempatan, mewujudkan pekerjaan bernilai tinggi dan menjana manfaat ekonomi yang lebih meluas kepada masyarakat.







