Selangor terus perkukuh momentum pelaburan, RM70 bilion diluluskan setakat Jun

10 Sep 2026, 2:05 AM
Selangor terus perkukuh momentum pelaburan, RM70 bilion diluluskan setakat Jun

SHAH ALAM, 10 SEPT: Selangor terus mencatat prestasi memberangsangkan dalam menarik pelaburan apabila merekodkan RM70 bilion bagi separuh pertama tahun ini, selepas mencatat RM101 bilion pelaburan diluluskan pada 2024.

EXCO Pelaburan Ng Sze Han berkata pencapaian itu hasil kerjasama erat antara Kerajaan Negeri, Invest Selangor dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dalam menarik serta memudah cara pelaburan ke negeri ini.

Katanya, kerjasama antara ketiga-tiga pihak penting bagi memperkukuh momentum pelaburan, khususnya dalam menarik pelaburan berkualiti tinggi serta memastikan projek yang diluluskan dapat direalisasikan.

”Beberapa tahun ini, kita telah menyaksikan prestasi pelaburan Selangor terus mencatatkan angka yang membanggakan dimana Selangor mencatat RM101 bilion pelaburan diluluskan pada 2024 dan RM70 bilion bagi separuh pertama 2026.

“Pencapaian ini bukan hasil usaha satu pihak sahaja, tetapi hasil kerjasama erat antara Kerajaan Negeri, Invest Selangor dan MIDA,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Dalam pada itu, Sze Han merakamkan penghargaan kepada Sherulanuar Abd Karim atas komitmen dan kerjasama sepanjang tiga tahun berkhidmat sebagai Pengarah MIDA Negeri Selangor sebelum meneruskan khidmat di ibu pejabat agensi berkenaan.

“Terima kasih Sherulanuar atas komitmen dan kerjasama sepanjang tiga tahun bersama Selangor. Semoga terus cemerlang dalam tugasan baharu di Ibu Pejabat MIDA,” ucapnya.

EXCO Pelaburan Ng Sze Han (tengah) berkongsi foto bersama Pengarah MIDA Selangor yang baharu, Yusri Jamal (dua, kanan) dan mantan Pengarah MIDA Selangor, Sherulanuar Abd Karim (dua, kiri) menerusi Facebook pada 9 September 2026

Beliau pada masa sama mengalu-alukan Yusri Jamal yang mengambil alih sebagai Pengarah MIDA Negeri Selangor yang baharu.

“Saya berharap kita dapat meneruskan kerjasama erat ini bagi menarik lebih banyak pelaburan berkualiti tinggi dan memastikan lebih banyak projek direalisasikan di Selangor,” katanya.

Menurut Sze Han, kesinambungan kerjasama antara Kerajaan Negeri, Invest Selangor dan MIDA penting bagi memastikan kelulusan pelaburan dapat diterjemahkan kepada projek yang memberi manfaat kepada ekonomi negeri.

Pertukaran kepimpinan itu menyaksikan Sherulanuar meneruskan khidmat di Ibu Pejabat MIDA, manakala Yusri mengambil alih tanggungjawab sebagai Pengarah MIDA Negeri Selangor.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.