Selangor catat 88 peratus kadar pelaksanaan projek pembuatan diluluskan - MIDA

15 Okt 2026, 7:40 AM
Selangor catat 88 peratus kadar pelaksanaan projek pembuatan diluluskan - MIDA

KUALA LUMPUR 15 OKT: Hampir 88 peratus projek pembuatan yang diluluskan di Selangor antara 2021 hingga Jun 2026 telah mula dilaksanakan daripada peringkat pembinaan hinggalah kepada pengeluaran, setakat 13 Oktober 2026, demikian menurut Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Ketua Pegawai Eksekutif MIDA Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata angka bagi peringkat kebangsaan lebih kurang sama iaitu sedikit melebihi 88 peratus daripada 5,822 projek, manakala bagi projek yang diluluskan antara 2021 dan 2024, lebih daripada 90 peratus telahpun bermula.

“Pencapaian ini mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang dipercayai. Tiga penarafan terkini turut memberikan gambaran yang sama. Pertama, Indeks Pembuatan Asia 2026 meletakkan Malaysia di tempat kedua di Asia, di belakang China, yang merupakan kedudukan tertinggi kita setakat ini.

“Kedua, Malaysia juga melonjak ke kedudukan ke-15 dalam Kedudukan Daya Saing Dunia IMD 2026, naik lapan anak tangga daripada kedudukan ke-23, di samping kembali tersenarai dalam kelompok 25 teratas Indeks Keyakinan Pelaburan Langsung Asing (FDI) Kearney 2026 buat kali pertama dalam tempoh lebih sedekad,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Forum Pelaburan Selangor (SIF), yang merupakan sebahagian daripada acara sampingan Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2026.

Pada separuh pertama 2026, Selangor mendahului semua negeri dengan pelaburan yang diluluskan berjumlah RM70 bilion, iaitu jumlah tertinggi dalam kalangan negeri-negeri lain, katanya.

Di peringkat kebangsaan, beliau berkata pelaburan yang diluluskan mencecah RM218.5 bilion dan dijangka mewujudkan kira-kira 99,000 peluang pekerjaan.

Bersama-sama dengan Johor, katanya, kedua-dua negeri ini menyumbang hampir 60 peratus daripada jumlah tersebut.

“Kelulusan di Selangor didorong oleh pelaburan digital dalam kecerdasan buatan (AI), analitik data raya, keselamatan siber, teknologi kewangan, pengkomputeran awan serta Internet Pelbagai Benda (IoT).

“Projek pusat data dan pengkomputeran awan sahaja menyumbang sebanyak RM95.8 bilion, iaitu hampir 44 peratus daripada keseluruhan pelaburan yang diluluskan,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai peruntukan dalam Belanjawan 2027, Sikh Shamsul Ibrahim berkata ia mengukuhkan daya tarikan Malaysia sebagai destinasi bagi perniagaan bernilai tinggi dengan penambahbaikan insentif cukai untuk Hab Perkhidmatan Global (GSH) serta lanjutan Elaun Cukai Pelaburan Teknologi Hijau (GITA) sehingga 2030.

“Langkah-langkah ini mampu menarik operasi perniagaan serantau serta menyokong industri yang lebih mesra alam. Untuk merealisasikan peluang ini bergantung kepada sejauh mana infrastruktur, utiliti, bakat, keupayaan penyelidikan, dan pembekal tempatan dapat dibangunkan seiring dengan pelaburan.

“Hal ini memerlukan penyelarasan yang erat antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri, agensi berkaitan, serta pihak industri, supaya pelaburan baharu dapat diterjemahkan kepada keupayaan perindustrian yang lebih kukuh dan manfaat ekonomi yang lebih meluas,” katanya.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.