MPAJ ambil tindakan tegas, sita enam premis atas pelbagai kesalahan

3 Dis 2025, 7:46 AM

SHAH ALAM, 3 DIS: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) melalui Jabatan Penguatkuasaan menjalankan pemeriksaan di beberapa lokasi bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang kecil (UUK) berkaitan penjajaan, perniagaan, dan pengendalian makanan.

Dalam operasi semalam, MPAJ melakukan lapan pemeriksaan dan mengambil tindakan sitaan terhadap enam premis atas pelbagai kesalahan di bawah UUK Penjaja (MPAJ) 2007, UUK Tred Perniagaan dan Perindustrian (MPAJ) 2007 dan UUK Establishmen Makanan (MPAJ) 2007.

“Sebarang aktiviti perniagaan tanpa kebenaran, menghalang ruang awam atau pengendalian makanan tanpa mematuhi peraturan adalah dilarang dan boleh dikenakan tindakan mengikut undang-undang kecil yang berkuat kuasa,” menurut kenyataan MPAJ.

Tindakan penguatkuasaan ini dijalankan secara berterusan bagi memastikan persekitaran bandar Ampang Jaya kekal tersusun, bersih, dan selamat untuk komuniti setempat.

Orang awam yang ingin menyalurkan aduan boleh menggunakan sistem SISPAA MPAJ atau menghubungi talian 1-800-22-8100.