ROMPIN, 3 DIS: Kereta dinaiki suami isteri yang dilaporkan terjatuh ke Sungai Rompin di Kampung Ayau semalam ditemui tenggelam di dasar sungai itu pagi tadi, namun kedua-dua mangsa masih belum ditemukan.
Timbalan Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Mohamad Zamri Mohamad Zaber, berkata kenderaan tersebut ditemui kira-kira jam 11 pagi pada jarak 59 meter dari lokasi ia dipercayai terjunam.
Menurutnya, penemuan dibuat oleh anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang menjalankan selaman skuba di sekitar kawasan berkenaan.
“Kedalaman sungai di lokasi penemuan dianggarkan antara lapan hingga 10 meter. Kereta sudah ditemui namun belum dapat dipastikan sama ada mangsa terperangkap di dalamnya.
Bomba akan melakukan selaman semula petang ini sebelum tindakan mengapungkan kenderaan dilakukan,” katanya, lapor Berita Harian.
Dalam kejadian 4 petang semalam, Mohd Zairil Bidin, 40, dan isterinya Aisyah Shafie, 55, dilaporkan hilang selepas kereta mereka terjunam ke sungai. Pasangan itu dalam perjalanan dari Keratong, Muadzam Shah menuju Kampung Sarang Tiong, Teluk Gading.
Ketua Zon 1 JBPM Pahang, Mohd Rasydan Ismail, berkata kenderaan tersebut ditemui dalam keadaan mengiring di dasar sungai dan pemeriksaan lanjut sedang dilakukan sebelum ia dibawa ke permukaan.





