SHAH ALAM, 3 DIS: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor memperhebatkan Operasi Laluan Terhad Kenderaan Perdagangan bagi memastikan kenderaan barangan mematuhi waktu operasi ditetapkan.
Menurut JPJ, rondaan harian dijalankan antara 6.30 pagi hingga 9.30 pagi di laluan utama termasuk Lebuhraya Persekutuan, Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) dan Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (LATAR).
"Langkah ini bertujuan mengurangkan risiko kesesakan serta kemalangan yang berpunca daripada kenderaan perdagangan yang gagal mematuhi jadual waktu.
“Kegagalan mematuhi isyarat laluan terhad merupakan satu kesalahan di bawah Subseksyen 79(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).
”Individu yang ingkar boleh dikenakan kompaun sehingga RM300 atau didakwa di mahkamah dengan denda antara RM300 hingga RM2,000,” jelas jabatan itu dalam kenyataan.
JPJ Selangor turut menasihatkan semua pengendali dan pemandu kenderaan perdagangan agar mematuhi peraturan laluan terhad bagi mengelakkan sebarang tindakan undang-undang.
Orang awam yang ingin menyalurkan aduan trafik boleh menghantar maklumat lengkap melalui:
aduantrafik@jpj.gov.my
aplikasi e-Aduan@JPJ


